FAKULTI BAHASA DAN PENDIDIKAN
SEMESTER MEI 2012
HBML 4203
KESUSASTERAAN MELAYU
NO. MATRIKULASI : 740713135698002
NO. KAD PENGENALAN : 740713-13-5698
NO. TELEFON : 0138111486
E-MEL : monicasodip_74@yahoo.com
TUTOR : EN. JAIS BIN SAHOK
PUSAT PEMBELAJARAN : PUSAT PEMBELAJARAN SARAWAK
Isi Kandungan Halaman
1.0 Pengenalan 2
1.1 Objektif kajian 3
1.2 Kaedah penyediaan Portfolio 3
1.3 Kemanfaatan Kajian 4
2.0 Tokoh Sastera 4
2.1 Biodata Tokoh Sastera – Jais Sahok 5 2.2 Keistimewaan, Pencapaian dan Anugerah 8
2.3 Kesusasteraan yang Diceburi
2.4 Sumbangan 11
2.4.1 Kesusasteraan (Penghasilan) 12
2.4.2 Pengajaran (Bengkel/Kursus/Tulisan/Bimbingan) 16
2.4.3 Persatuan 19
2.4.4 Pemikiran 21
3.0 Kesimpulan 22
Rujukan
Lampiran
1.0 Pengenalan
Kajian terhadap seseorang tokoh itu amat penting bagi memastikan khazanah keilmuan yang dicurahkan dalam bentuk sumbangan akan terus terpahat di hati peminat seni sastera. Kajian ini seharusnya dirakam menjadi sebuah dokumen eksplisit supaya ilmu tasit mereka tidak akan mengalami ‘brain drain’ apabila mereka tiada lagi di muka bumi ini suatu masa kelak.
Terdapat ramai tokoh sastera yang terkenal dalam Kesusasteraan Melayu kerana jasa mereka menyumbangkan hasil-hasil karya. Tokoh-tokoh sastera ini banyak menyumbangkan bitara kreatif dan jagat kecendikiaan mereka dalam dunia kesusateraan Melayu. Sehingga hari ini, sumbangan mereka cukup besar dan terpahat dalam lipatan sejarah dunia sastera sehingga dunia sastera terhutang budi dengan sumbangan besar mereka dalam arena kesusasteraan.
Kemahsyuran sering menimbus kenyataan sebenarnya. Seringkali pula kita mengenal seseorang penulis tanpa membaca dan meneliti hasil karyanya. Kita mungkin mengenali sesetengah penulis namun kita tidak mendalami karya yang menjadi puncak ciptaanya. Begitu juga dengan sumbangan tokoh-tokoh sastera seperti hasil-hasil karyanya, cara pemikirannya, dan hasil kritikan yang membina dalam mengajar dan membimbing masyarakat setempat. Ketokohan tokoh sastera dalam kajian ini akan dibincangkan melalui anugerah yang diterima, sumbangan mereka terhadap dunia sastera dan masyarakat sekeliling serta bidang keintelektualan mereka. Dalam kajian ini, tokoh sastera yang dipilih ialah seorang penulis Bumi Kenyalang yang telah lama berkecimpung dalam dunia kesusasteraan, penulisan kreatif dan bidang bahasa.
Kajian kesusasteraan ini ialah kerja untuk melihat kenyataannya dan bukan untuk memuji seseorang sasterawan atau menggilapkan kemahsyurannya. Dalam perkiraan seseorang sasterawan, kita harus menilainya pada neraca hasil tulisan kreatifnya sebagai karya sastera yang mempunyai makna sosial dan sejarahnya juga. Kita percaya bahawa seseorang tokoh sastera ingin dinilai dari pelbagai perspektif kerana sebagai seorang penulis yang serius dan sentiasa memandang ke depan, beliau harus tahan diuji zaman dan perubahan, dan juga mata pena kritikiawan yang lahir bersamanya.
1.1 Objektif kajian
Kajian ini sesungguhnya dilakukan untuk memenuhi objektif-objektif berikut;
i. memperoleh maklumat ketokohan Encik Jais Bin Sahok dengan lebih rinci
ii. menghuraikan sumbangan tokoh sastera Encik Jais Bin Sahok dalam bidang penulisannya karya sasteranya.
1.2 Kaedah Penyediaan Portfolio
Beberapa kaedah telah digunakan dalam pengumpulan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan portfolio ini. Kaedah temu bual merupakan kaedah utama yang digunakan. Pertemuan yang dirancang telah dilaksanakan beberapa kali bersama tokoh yang telah dipilih. Kaedah temu bual secara bersemuka juga digunakan untuk memperoleh data-data realistik yang sah daripada tokoh yang telah dipilih. Tokoh telah ditemu bual tentang latar belakang pendidikan, kerjaya dan pandangan terhadap bidang kesusasteraan yang beliau ceburi.
Di samping kaedah temu bual, kaedah analisis data dokumen turut diaplikasikan dalam penyediaan porfolio ini. Dokumen-dokumen penting yang berkaitan dengan ketokohan dan sumbangan beliau telah dianalisis. Selain itu, kaedah kepustakaan juga turut digunakan. Dalam kaedah ini, dokumen-dokumen yang digunakan ialah karya-karya tokoh, esei, kritikan orang lain, malah dokumen elektronik juga digunakan.
Selain temu bual dan analisis dokumen kepustakaan, kaedah lain yang digunakan ialah penggunaan rangkaian internet. Emel merupakan penghubung utama dengan tokoh untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Emel-emel yang telah dihantar kepada tokoh telah mendapat respons yang positif. Melalui laman sesawang juga, banyak maklumat yang bermanfaat telah diperoleh. Tokoh ini juga telah banyak memberi panduan dan rujukan bagi melengkapkan latihan ilmiah ini.
1.3 Kemanfaatan Kajian
Kemanfaatan kajian ini adalah untuk memperlihatkan dan menghuraikan sumbangan tokoh dalam dunia kesusasteraan Melayu. Dengan adanya kajian ini diharapkan dapat menjadi penghubung yang akan memudahkan khalayak sastera iaitu peminat, pengkaji dan penulis generasi muda untuk mengenali, memahami serta menguasai proses penciptaan karya tokoh. Kajian ini penting kerana pengalaman pengarang mapan ini dapat dimanfaatkan oleh golongan pelapis untuk melahirkan karya-karya sendiri pada masa akan datang.
Kajian ini juga penting sebagai khazanah yang amat berharga yang dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. Selain itu, kajian ini juga adalah untuk mengabadikan ilmu kesusasteraan tokoh ini dalam lipatan sejarah perjalanan seorang tokoh sastera yang dikagumi dari Bumi Kenyalang. Buah fikirannya yang bernas dan berunsurkan pengajaran amat sesuai dalam mendidik masyarakat untuk menjadikan bumi ini sesuai untuk ditempati. Kajian ini juga dapat mengabadikan ilmu tasit beliau dalam bidang sastera agar perjuangan beliau juga tidak ada titik noktahnya.
Kita perlu mengkaji tokoh-tokoh sastera dan mengabdikan sumbangan mereka dalam dunia sastera.Karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera. Selain itu, ilmu tasit dan kepentingan ilmu yang ada pada seseorang karyawan merupakan khazanah yang amat berharga. Segala ilmu yang dimiliki perlu dialirkan dan diwariskan kepada generasi baru agar tidak menjadi ’brain drain’ suatu hari kelak. Dalam mencipta sejarah dalam ketamadunan manusia, generasi akan datang seharusnya menjadi lebih baik daripada generasi yang lalu. Demikianlah pernyataan seorang penulis jati Bumi Sarawak, Encik Jais Sahok ketika ditemu bual di rumah beliau. Ini menunjukkan bahawa karya-karya agung sasterawan negara kita amat berharga dan tidak ternilai harganya.
2.0 Tokoh Sastera
Encik Jais Bin Sahok
2.1 Biodata Tokoh Sastera – Jais Sahok
Hasil perkongsian hidup di antara sepasang suami isteri, Sahok bin Jaya dan Maseri binti Johan, maka lahirlah anak ketujuh mereka iaitu Jais Sahok pada 14 November 1959 di Lundu, Kuching. Jais Sahok berketurunan Melayu dan mempunyai darah keturunan Bidayuh-Selako daripada ibunya.
Beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Kerajaan Lundu mulai tahun 1966 hingga 1971. Alam persekolahnnya dilanjutkan ke Sekolah Menengah Kerajaan Lundu dalam tingkatan satu, dua dan tiga. Kemudian, beliau menjejakkan kaki ke tingkatan empat, lima dan enam dalam aliran sains di ‘Dragon School’ dari tahun 1975 hingga tahun 1978.
Lulus STPM pada tahun 1978 dan kemudian mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Batu Lintang pada tahun 1980 hingga 1981 dan mengambil kursus Seni Perusahaan. Pada tahun 1985-1988, Jais melanjutkan pelajaran ke menara gading di Universiti Pertanian Malaysia sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam jurusan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Usaha menimba ilmu tidak berhenti setakat itu sahaja. Tidak pernah jemu menimba ilmu, Jais telah melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Sarjana di Universiti Putera Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia pada Julai 2001. Manakala pada tahun 2005, sekali lagi Jais berjaya menambah koleksi ijazahnya apabila beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Maklumat di UiTM. Kerakusannya mengejar ilmu tidak pernah ada titik noktahnya. Sehingga portfolio ini dihasilkan, beliau masih lagi bergelar mahasiswa mengejar ijazah dalam bidang kedoktoran. Semoga beliau berjaya menggapai awan, menjunjung bintang di langit dan berjaya menggenggam cita-cita yang belum tergapai olehnya.
Jais Sahok telah membina mahligai indah bersama suri hidupnya, Nora binti Morshidi. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan tiga orang permata hati, Mohammad Afif Izdihar yang kini berusia 22 tahun, Mohammad Fiqri Hamiz berusia 20 tahun dan kehadiran puteri tunggal mereka iaitu Fatin Aina Zawani yang kini berusia 16 tahun telah melengkapkan kebahagiaan pasangan ini.
Mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan seawal tahun 1981 iaitu semasa beliau masih menuntut di Maktab Perguruan Batu Lintang. Dalam sesi temu bual bersamanya, beliau menceritakan bahawa desakan rasa rindu yang kuat, kesepian dan kelapangan masa merupakan pemicu untuk beliau mengukir nukilan rasa hatinya dalam bentuk tulisan. Usaha yang pada awalnya hanya untuk mencuba telah membuahkan hasil apabila dua buah cerpennya telah tersiar dalam akhbar tempatan yang beribu pejabat di Sibu. Tabiat ini masih lagi menular kuat dalam nadi karyanya. Sensitivitinya yang kuat tentang isu persekitaran sentiasa mendorong beliau mengukir watak-watak dalam karyanya.
Dalam latihan ilmiah Mary Jitos (2011), menyatakan minat beliau terhadap sastera dan bidang penulisan timbul sejak dari kecil lagi. Desakan hidup yang susah menyebabkan beliau tidak pernah mengenal erti menyerah malah beliau terus berusaha untuk menggapai impiannya.
Jiwanya memang sinonim dengan dunia pendidikan. Beliau pernah menjadi guru sandaran sebelum memasuki maktab perguruan. Apabila tamat pengajian di maktab, beliau memulakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik terlatih dan ditempatkan di sekolah pertamanya, SMK Datuk Patinggi Hj. Abdul Gapor, Stampin, Kuching bermula pada tahun 1982 sehingga Jun 1985. Sepanjang perjalanan sebagai seorang guru, beliau pernah menyandang tugas sebagai Penolong Kanan 1 di Kolej Tun Abdul Razak (1995), Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lumba Kuda (1996), Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (2000), Penolong Kanan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawa (2003) dan guru Bahasa Melayu Tingkatan 6 Sekolah Menenah Kebangsaan Batu Kawa sehingga kini.
Selain menjadi pendidik di sesebuah sekolah, beliau pernah menabur khidmat di Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan, di ibu pejabat Jabatan Pendidikan Sarawak (JPN) yang sekarang lebih dikenali sebagai Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) pada 1 Disember 1989 sehingga 28 Februari 1995. Semasa di JPN, beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknologi Pendidikan (Seksyen Radio Pendidikan, Unit Penyiaran, BTP Sarawak).
Jais Sahok mendapat ilham menulis melalui pengalaman hidup yang mendesak nalurinya untuk berkarya. Atas rasa minat yang tidak pernah luntur dan mendalam dengan dunia penulisan, beliau mencipta karya-karya dengan gaya yang tersendiri. Selain itu, persekitaran kerjaya sebagai seorang guru turut menjadi pendorong untuk beliau berkarya. Menurutnya, di awal berjinak-jinak dengan bidang ini, beliau banyak terpengaruh dengan karya dari Writer Digest. Idea-idea beliau banyak dipengaruhi oleh karya yang terdapat dalam Writer Digest. Kemudian beliau beralih kepada unsur-unsur masyarakat setempat Sarawak seperti yang terpapar dalam karya novel beliau seperti ’Ngoncong’, ’Wek Jongan’ dan ’Buhul-Buhul Kasih Di Benang Basah’. Jais Sahok mengangkat pelbagai masalah masyarakat dan bertemakan kemanusiaan. Setiap kali menulis, beliau sentiasa berpegang kepada tiga elemen penting. Hasil karyanya mesti ada ketiga-tiga elemen ini iaitu estetika ilmu, estetika sastera dan estetika bahasa.
Tema kemanusiaan merupakan tema yang sering ditonjolkan dalam karya beliau lebih-lebih lagi dalam puisi-puisi ciptaannya. Namun, akhir-akhir ini beliau mula beralih kepada unsur-unsur keagamaan. Menurut beliau, antara karya-karya beliau yang berunsur keagamaan yang pernah dihasilkan ialah ’Persimpangan’ dan ’Akad Akal’.
2.2 Keistimewaan, Pencapaian dan Anugerah
Jais Sahok adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri. Beliau bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata-mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran. Jais Sahok mula berkarya pada pertengahan tahun 1980-an, namun dalam masa hanya beberapa tahun selepas penglibatnnya dalam bidang penulisan, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya.
Jais Sahok ialah salah seorang penulis dari Bumi Kenyalang yang berhasil mencipta nama di peringkat kebangsaan dari penganugerahan pelbagai peraduan. Penglibatannya dalam bidang penulisan sastera dan bahasa telah banyak memberi kelebihan kepada Jais Sahok untuk menerima pelbagai bentuk anugerah dan pengiktirafan. Beliau menulis dalam pelbagai genre iaitu cerpen, novel, skrip drama, puisi serta esei kritikan. Hasil usaha dan jerih payah beliau inilah yang telah menyumbang kepada kemenangan dalam peraduan menulis serta menerima hadiah/anugerah penulisan (dalam hampir kesemua genre) baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan seperti Hadiah Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Cerpen DBP-Malayan Banking, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) dan Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak. Selain aitu, Jais Sahok juga terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana (HSPM) untuk penilaian tahun 2006-2007 dalam kategori karya eceran. Sehingga kini, Jais sudah menghasilkan puluhan novel dan empat buah kumpulan cerpen persendirian di samping banyak lagi tulisan yang disiarkan/diterbitkan secara eceran ataupun secara bersama dengan tulisan penulis-penulis lain.
Jais Sahok merupakan seorang penulis yang berwibawa, teliti dan kritis. Beliau juga merupakan seorang tokoh penulis yang memiliki keistimewaan tersendiri melalui karya-karyanya terutama dalam sajak ciptaannya. Antara sajak-sajak beliau yang pernah memenangi peraduan ialah Guru (1989), Jambangan Bunga Bahasa (1991), Lukisan Kalbu, Suara, Aku Anak Mama (1995), Agenda Kita (2000), Panorama Di Balik Warkah Untuk Masyitah (2003), Selamat Hari Guru, Guru Malaysia (2004), Hadiah Yang Kuterima Ini (2006), Warta Agenda (2007), dan Dari Runtuhan Perasaan Seorang Pendidik (2007). (diperoleh daripada Vitae Curiculum Jais Sahok: Sajak).
Cerpen adalah bidang genre yang paling menyerlah dalam karya kreatif Jais Sahok kerana paling banyak menerima anugerah. Dalam bidang cerpen, “Engkabang” dalam antologi Sayembara V telah memenangi hadiah sagu hati bersempena dengan Sayembara Penulisan Cerpen Esso-GAPENA pada tahun 1984 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Encik Jais Sahok telah memenangi peraduan menulis dalam bidang cerpen sebanyak 14 kali sepanjang penglibatan aktifnya dalam bidang penulisan kreatif. Cerpen beliau yang bertajuk ”Selepas Gawai” telah menerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (HPPS) 2010 sebanyak RM1000. Majlis diadakan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak Kuching, Sarawak pada 3 November 2011. Hadiah telah disampaikan oleh Datuk Hjh. Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Sarawak.
Anugerah HPPS 2010.
Novel “Bermulanya Di Sini” telah berjaya mendapat pengiktirafan apabila telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah kedua dalam peraduan mengarang yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cawangan Sarawak pada tahun 1992. Jais Sahok merupakan sasterawan yang berkarya tentang keperihalan manusia yang direncam, diolah dalam gaya yang berseni dan mengandungi moral yang tersirat supaya kesan yang diperoleh adalah untuk membangunkan pembaca, bukan meruntuhkannya.
Setakat ini Jais Sahok telah memenangi lebih kurang sembilan sayembara mengarang skrip drama daripada pelbagai anjuran. Skrip drama turut menjadi salah satu daripada kepakaran beliau dalam sastera penulisan. Antara skrip drama yang telah memenangi hadiah dan peraduan ialah Kenyalang (1993) Hadiah Pertama, Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas Sebabak, anjuran Majlis Teater Kebangsaan , Persimpangan (1989, Hadiah sagu hati, DBP Cawangan Sarawak), Mendung Berlalu (1991, Hadiah sagu hati, Majlis Teater Kebangsaan) dan lain-lain lagi. Skrip drama yang lain ialah Jagung Pulut Pusaka Moyang (1991), Lambaian Horizon (1992), Bukit Lanjak (1993), Bukan Penyerahan (1993), dan Haemodialisis (1996). (diperoleh daripada Kurikulum Vitae Jais Sahok 2012).
‘Puisi Malaysia 1000 Wajah’ yang diterbitkan pada tahun 2007 dan merangkumi 1000 muka surat telah dinobatkan sebagai mencipta sejarah beliau dalam bidang penghasilan puisi kreatif kerana telah dicatatkan dalam rekod terkini iaitu dalam Guiness Book of Record 2012.
2.3 Kesusasteraan yang Diceburi
Muliani binti Ibrahim (2005), dalam tesisnya menyatakan Jais Sahok sememangnya seorang penulis yang prolifik dan berbakat besar. Kebanyakan hasil karyanya mendapat tempat di hati khalayak dan pernah memenangi beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat kebangsaan. Karya beliau yang paling banyak menerima hadiah ialah cerpen. Kejayaan tulisan cerpennya atas kecenderungan yang mendalam dalam bidang cerpen dan cerpen dapat disiapkan dengan cepat berbanding novel yang mengambil masa agak lama untuk disiapkan.
Pendorong utama Jais Sahok dalam bidang penulisan ialah dirinya sendiri kerana baginya hasil karya seninya berkaitan dengan kehendak dalaman diri sendiri. Selain itu, keluarga turut menjadi pendorong utama kerana mereka memberi beliau masa untuk mengarang dan memahami minatnya dalam bidang penulisan. Beliau seorang yang berpegang dengan prinsip dan baginya jika sudah memulakan mesti berjaya melakukan.
Minat beliau dalam bidang penulisan lahir seawal tahun 1980-an bermula dengan penghasilan puisi pendek dan ditafsirkan dalam cerpen. Minat itu terus disuburkan dengan keupayaan beliau mengolah dan mengembangkan plot cerita yang akhirnya mengheretnya ke dalam dunia penulisan novel dan esei kritikan.
Karya penulisan beliau merupakan penulisan merentas genre. Beliau telah berjaya menghasilkan puluhan puisi, cerpen, esei eceran, novel, kritikan sastera dan esei umum. Pada pemikiran beliau, hasil tulisannya umpama sepohon pokok yang tumbuh melalui akar, disuburi dengan idea-idea kreatif sehingga bercambah dan menghasilkan cabang-cabang ranting ilmu yang berdaun rimbun. Perumpamaan ini adalah berkaitan dengan hasil tulisannya yang bermula dengan puisi, diteruskan dengan cerpen, dan seterusnya dikembangkan kepada novel. Menurut beliau lagi, novel umpama pohon subur yang sudah rendang, berbunga cantik dan berbuah dengan lebatnya.
Hasil-hasil nukilan beliau itu telah membuahkan hasil apabila beliau berjaya merangkul pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan.
2.4 Sumbangan
2.4.1 Kesusasteraan (Penghasilan)
Berkecimpung selama lebih 30 tahun dalalm dunia seni penulisan, Jais Sahok telah memperkenalkan suatu dimensi baru untuk memahami kehidupan dan keindahan. Karya-karyanya memancarkan kesatuan estetika, kepaduan, keutuhan dan kesejagatan yang membentuk perubahan dan pembangunan dalam sastera Melayu. Khayalan-khayalan dan fikiran-fikiran yang didedahkan dalam hasil karyanya, umumnya mengandungi tema kemanusiaan dan kemasyarakatan.
Sesungguhnya, Jais Sahok melalui pengalaman peribadi dan dirinya sebagai fokus telah menukar konsep sastera, kepengarangan dan konsep diri. Paling penting beliau telah mengungkapkan perubahan dari segi persepsi kehidupan masyarakat. Jais Sahok telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada kesusasteraan Melayu. Hasilan karyanya mengandungi benih-benih inovasi dan beliau berjaya memadukan semua unsur-unsur inovasi tersebut dengan indah dan berkesan. Oleh itu, penglibatan beliau dalam dunia kesusasteraan ini boleh dianggap telah menjangkau zaman dan generasinya sehingga unsur pembaharuan berjaya ditonjolkan.
Sepanjang tempoh penglibatannya dalam dunia sastera, hampir kesemua karya sastera telah diterbitkan. Sajak-sajak beliau telah banyak diterbitkan sama ada dalam bentuk antopologi puisi. Misalnya, Bertandanglah Ke Dalam Hati merupakan satu satu buku yang memuatkan 165 sajak beliau. Kumpulan Puisi Bertandanglah Ke Dalam Hati merupakan sajak yang memuatkan rasa kemanusiaan yang tinggi. Antara sajak yang dimuatkan dalam Bertandanglah Ke Dalam Hati ialah Aku Anak Mama yang pernah memenangi hadiah saguhati dalam peraduan menulis Kempen Antidadah 1995.
Di samping itu, beliau turut menghasilkan sajak eceran. Sajak eceran di sini bermaksud sajak-sajak yang sudah terbit dalam pelbagai terbitan: akhbar, majalah, buku cenderamata, buletin dan sebagainya. Selain itu, sajak-sajak beliau banyak dipengaruhi oleh fenomena-fenomena yang berlaku dalam lingkungan peribadi, profesion, dan masyarakat dunia amnya. Sajak Tsunami ditulis untuk mengabadikan peristiwa tsunami yang pernah melanda Aceh pada tahun 2006. Sajak-sajak yang ditulis oleh beliau juga berbeza-beza sama ada ditulis untuk dideklamasikan ataupun dinyanyikan. Sajak Gadis Batu Batu merupakan contoh sajak untuk dinyanyikan. Menurut beliau, pemilihan diksi untuk sajak yang dinyanyikan lebih mendayu-dayu untuk memenuhi kehendak fungsinya.
Selain daripada sajak, beliau turut bergiat aktif dalam menghasilkan novel. Beliau adalah seorang tokoh penulis yang berkeupayaan dan sangat berkebolehan dalam bidang penulisan novel. Sepanjang penglibatanya dalam bidag penulisan, beliau telah menghasilkan novel untuk setiap lapisan masyarakat dari golongan kanak-kanak hinga ke golongan dewasa. Beliau telah menulis tujuh novel kanak-kanak. Antara novel kanak-kanak yang telah ditulis beliau ialah Ondok dan Puteri Santubung (1992), manakala Perahu Tambang, Buah Taop, Ke Medan Jaya, Syair Perahu Tambang dan Lada Putih Lada Hitam ditulis pada tahun 1993.
Tidak pernah lupa dengan golongan remaja, Jais Sahok telah mengarang 11 buah novel remaja. Antara novel remaja yang telah diterbitkan ialah Hisham, Mega-Mega Kelabu (1991), Rahsia Saidin (1992), Merah Senja Di Hujung Cuti (1993), Jalan Ke Puncak, Bangsawan, Ikan Keli dan Perempuan Tua Di Bangunan Satok (1996), Afif (2000) dan Pokok Besar di Hadapan Rumahku dan Terima Kasih Cikgu (2008).
Novel umum bagi golongan dewasa juga tidak dilupakan. Antara tujuh novel umum yang pernah memenangi hati khalayak ialah Bermulanya Di Sini (1992), telah memenangi hadiah kedua dalam peraduan mengarang yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Novel umum yang lain seperti Buhul-buhul Kasih Di Benang Basah (1992), Persimpangan (1998, pernah ditulis dalam bentuk skrip drama pentas dan juga turut dipentaskan dalam pertandingan Drama Sekolah Peringkat Bahagian Kuching), Jagung Pulut Pusaka Moyang (2000), Detik (2001), Ngoncong (2002, yang berlatar belakangkan persekitaran etnik Sarawak dan pernah dipentaskan sempena Hari Bandaraya), dan Untukmu Cikgu (2010).
Selain puisi, cerpen, novel dan skrip drama, Jais Sahok juga aktif dalam penulisan esei sastera dan esei bahasa. Setakat kajian ini dihasilkan, beliau telah menghasilkan lebih kurang 20 esei. Antara esei bahasa yang telah diterbitkan ialah Bahasa Malaysia di Sarawak: Satu Tinjauan Permulaan (1987), Keproduktifan Bahasa (Rujukan Kepada Bahasa Malaysia (1988), Makna Dalam Pantun Melayu (1989), Pendekatan Preskriptif dan Deskriptif dalam Penyelesaian Masalah Hukum Bahasa Melayu (1991), Andragogi Bahasa: Pendekatan Kreatif Terhadap Pengajaran Bah asa Malaysia (1991), Teknik Kaunseling Untuk Menyuburkan Tabiat Membaca (2008) lain-lain lagi. (diperoleh daripada Kurikulum Vitae, 2012).
Jais Sahok telah menghasilkan banyak buah esei sastera yang berupa kritikan sastera. Selain esei bahasa terdapat juga esei sastera yang telah diterbitkan sama ada secara eceran ataupun antopologi. Antara esei sastera yang pernah memenangi peraduan mengarang ialah Kecerdikan Emosi (Emotional Intelligence) Dalam Cerpen di Sebalik Sirat (hadiah pertama dalam pertandingan sempena Hari Guru 2005-2006), (2006). Kaedah Penelusuran Budaya Budi Bahasa dalam Sajak-Sajak Cikgu XVII, 2006 (menang hadiah sagu hati dalam pertandingan sempena Hari Guru 2005-2006), Warkah Kesedaran Dari Perspektif Kajian Sosial 2008, (hadiah kedua dalam pertandingan mengarang sempena Hari Guru 2007-2008) dan lain-lain lagi.
Selain esei sastera dan esei bahasa, Jais Sahok juga turut menghasilkan esei-esei lain yang telah diterbitkan seperti esei Bakat Alam, Kebijaksanaan Nilai Sosial dalam Seorang Tua Berjubah Putih (2005), Kecerdikan Emosi (Emotional Intelligence) dalam cerpen Di Sebalik Sirat Makna, (2006), Kaedah Penelusuran Budaya Budi Bahasa dalam Sajak-Sajak Cikgu XVII (2006), Novel Karya Penulis Pelbagai Kaum (2006), Sangga Bicara Dari Perspektif 165. (2007), Warkah Kesedaran Dari Perspektif Kajian Sosial (2008), Paradigma Sosiologikal dalam Cerpen Sangga Bicara. Sastera Kebangsaan Pemersatu Kepelbagaian Kaum di Malaysia (2008), Riak-Riak Femininisme dalam Bara Yang Menyala (2009), Warkah Kesedaran Dari Perspektif Falsafah Pendidikan Negara (2010), dan Manipulasi Keindahan Puisi Dalam Sajak-Sajak Cikgu XIX (2010).
Sumbangan tulisan untuk kegunaan buku teks turut dihasilkan. Beliau menulis buku teks iaitu untuk kegunaan pelajar sekolah menengah iaitu Bahasa Malaysia Tingkatan Dua KBSM terbitan Pustaka Cipta (1989), Pendidikan Pemulihan (1990) dan dua buah buku lagi iaitu Panduan Ulangkaji Dinamik SPM: Hikayat Umar Umaiyah dan Panduan Ulang kaji Dinamik, SPM : Drama Penantian (1989).
Di samping buku teks kegunaan di sekolah, beliau turut menyumbang bakat tulisannya dengan menulis buku panduan dan rujukan guru dan pelajar seperti buku Rempah Ratus Bahasa Malaysia, (1990), Penulisan Cereka Cerpen (1999), Berucap Bagai Juara ( 2007), Kamus Simpulan Bahasa, Bahasa Melayu (2008), Kamus Kata Majmuk, Bahasa Melayu (2008), Curriculum Management & Concept of Smart School for Teachers (2008) dan Penulisan Cereka Cerpen (2008).
Jais Sahok juga bergiat aktif dalam penghasilan rencana akademik dana rencann umum. Rencana akademik ialah rencana mata pelajaran yang khusus ditujukan untuk pemahaman pelajar sekolah seperti geografi dan lain-lain. Manala rencana umum pula merupakan rencana yang berkaitan isu-isu umum untuk pemahaman khalayak umum. Setakat ini, beliau telah menghasilkan ratusan buah rencana akademik dan rencana umum.
2.4.2 Pengajaran (Bengkel/Kursus/Tulisan/Bimbingan)
Jais Sahok merupakan seorang pengarang tidak perlu diperkenalkan lagi, kerana namanya sudah dikenali dalam alam kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau dikenali kerana novel dan cerpennya, malah beliau juga dikenali kerana perkongsian ilmunya. Beliau sememangnya seorang yang tidak pernah kedekut dengan ilmu yang dimilikinya. Selain itu, beliau juga merupakan seorang sasterawan yang tidak pernah jemu mengejar ilmu terutama yang berkaitan dengan bidang penulisan.
Jasa beliau dalam curahan ilmu tasitnya kepada generasi baru dan kepada sesiapapun yang meminati bidang kesusasteraan amat tinggi nilainya. Beliau telah memberi ilmu dan mencurahkan kepakaran dalam ratusan ceramah, bengkel dan kursus agar ilmu tasitnya mampu diwarisi pencinta seni sastera yang lain. Antaranya ialah Kursus Penulisan Drama, Kursus Kesusasteraan Melayu Komunikatif (STPM), Ceramah Sastera dan KOMSAS, Bengkel Penulisan Kreatif Cerpen, Bengkel Penulisan Kreatif Puisi dan Bengkel Penulisan Novel. Kesemua kursus, ceramah dan bengkel ini diberi kepada semua pencinta seni sastera di seluruh negeri Sarawak.
Bukti-bukti yang menunjukkan beliau pernah memberi kursus, ceramah dan bengkel adalah melalui gambar-gambar yang ditunjukkan dalam kajian ini.
Kursus Penataran Bahasa Melayu kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Anjuran DBP KL. Diadakan di Riverside Majestic, Kuching pada 1-2 Disember 2009. Peserta dari Sabah dan Sarawak.
Kursus Penulisan Cerpen dalam Pemanatapan BM Pelajar dan Guru di SMK Batu Kawa
pada bulan Mei 2010 anjuran DBP Cawangan Sarawak.
Kursus dan Bengkel Pengajaran Komsas BM, Guru-Guru BM Sekolah Menengah Chung Hua, Miri. Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Kerjasama DBP Kuala Lumpur.
Kursus diadakan di Hotel Mega, Miri pada 12.11.2011.
Bengkel Penulisan Puisi sempena Bulan Bahasa SMK Datuk Permaisuri, Miri.
Pada 27 April 2012
Oleh kerana minatnya yang mendalam bidang bahasa dan kesusasteran, beliau sering menghadirkan diri di seminar dan pertemuan penulis peringkat negeri, kebangsaan dan antara bangsa atas biaya sendiri dan ehsan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Beliau juga menghadiri pelbagai jenis kursus untuk tujuan peningkatan profesionalisme. Antara ceramah yang pernah dihadiri ialah ‘Ceramah Dasar Bahasa Sempena dengan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak’ yang diadakan pada 27 Oktober 2011 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak.
Selain itu, beliau juga pernah menghadiri Kursus Penataran Munsyi Dewan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sebagai persiapan dan kelengkapan sebagai Munsyi Dewan sebelum dilantik dan hasil kursus tersebut beliau telah dilantik sebagai Munsyi Dewan yang ke-44.
Dalam pada itu, beliau juga pernah menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV pada 6 hingga 8 November 2006 anjuran Gapena di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur .
Gambar kenangan bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said semasa menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu IV – GAPENA 2006
2.4.3 Persatuan
Menurut Muhammad Ali Atan (2012), persatuan memainkan peranan penting dalam mengerakkan para penulis agar bergerak dalam satu gerak kerja tersusun dan terarah. Objektif persatuan penulis secara logiknya antara lain ialah membela penulis itu sendiri. Selain itu persatuan penulis juga membela karya penulis daripada dirompak cetak. Apatah lagi karya yang dijadikan bahan politik lalu dibunuh kerana alasan yang boleh dihujahkan. Persatuan penulis juga berperanan merangka aktiviti yang berkaitan penulis dan membina penulis.
Selain berkarya, Jais Sahok juga bergiat aktif dalam pelbagai persatuan terutamanya persatuan badan-badan penulisan. Terdapat pelbagai persatuan penggiat sastera yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan dan menjaga hasil penulisan karyawan-karyawan negara. Jais Sahok merupakan ahli Angkatan Karya Sarawak sejak tahun 1982. Beliau pernah meneraju Angkatan Karya Sarawak sebagai Ketua I pada tahun 1991 dan Ketua II pada 1992.
Selain menyertai Angkatan Karya Sarawak, beliau juga menyertai merupakan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) pada 1989, namun beliau telah meletak jawatan kerana krisis yang berlaku dalam GPPS pada 1992. Pada tahun 1996, beliau embali menjadi AJK pada tahun 1996 kerana menggantikan Jamilah Morshidi yang melatakkan jawatan. Apabila konflik dan krisis dalam persatuan itu kembali reda, beliau telah menyertai semula GPPS sebagai ahli biasa pada Julai 1998.
Bakat kepimpinan dan dedikadi yang dimiliki oleh beliau telah membawa kepada pemilihan beliau sebagai Ketua I dalam Persatuan Karyawan Sarawak (PERKASA) pada 27 Mei 2004. Seterusnya selepas dua tahun menerajui PERKASA, beliau telah diberi mandat sebagai Ketua II pada bulan Jun 2007.
Jais Sahok juga dipilih dan dilantik sebagai Ketua II dalam Persatuan Penulis Biografi Sarawak (PPBS) sejak bulan Julai 2009. Kesemua persatuan yang pernah dan sedang dianggotai menunjukkan bahawa belaiu merupakan seorang penulis yang giat dan aktif berpersatuan dan memainkan peranan dalam mengembang kerjaya dan mendaulatkan karya sastera negara.
Selain daripada berpesatuan, Jais Sahok juga pernah diberi kepercayaan menjadi pengerusi Majlis Baca Karya Guru-Cikgu 1-17 (2005) di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Dalam majlis ini, semua karya guru-guru dibaca secara nyaring tanpa henti selama empat puluh jam dan majlis ini telah dilewati dengan jayanya. Pada tahun yang sama dalam Majlis Perkampungan Ilmu (2005), sekali lagi beliau diberi amanat untuk memikul tanggungjawab sebagai pengerusi. Tugas ini diberi untuk menunjukkan penghargaan kepada Penulis Sarawak. Dalam majlis ini juga turut dipersembahkan bacaan karya Sarawak secara nyaring tanpa henti selama 168 jam 16 minit.
2.4.4 Pemikiran
Pemikiran dan pandangan Jais Sahok terhadap dunia sastera ialah beliau berpendapat bahawa dunia sastera masa kini semakin sarat dengan ilmu bukan sastera kerana orang sastera semakin peka akan keperluan ini dan orang bukan golongan sastera semakin diresapi ilmu sastera, umpamanya melalui KOMSAS dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan penekun karya, mereka semakin ghairah meresapkan ilmu bukan sastera seperti ilmu sejarah, perubatan, sosial, pendidikan, sains, matematik, ilmu agama dan sebagainya ke dalam karya sastera mereka sehingga timbul konsep novel Islam, novel sains fiksyen, sajak ramadhan, novel sejarah dan sebagainya.
Jais Sahok dilihat sebagai seorang penulis yang mempercayai bahawa minda seseorang itu mempunyai perkaitan rapat dengan situasi seseorang itu. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa tidak semua penyakit boleh diubati menggunakan teknologi sains perubatan yang tinggi. Kekuatan minda adalah pendorong manusia untuk mencapai keinginannya walaupun perkara itu dianggap sukar. Setiap kali berbicara, ungkapan ”The power of mind” sering meniti di bibirnya ketika membincangkan tentang gagasan yang membentuk karya-karya sasteranya. Ungkapan ”The power of mind” itulah yang tidak dapat diungkap oleh pengkritik karyanya Haemodialisis (1996).
3.0 Kesimpulan
Tokoh-tokoh sastera banyak memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam membentuk suasana yang harmoni dan memberi pengajaran melalui media cetak dan tulisan. Ilmu tasit dan kepentingan ilmu yang ada pada mereka merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Sumbangannya terhadap ketamadunan manusia amat besar dan perlu diabadikan dalam lipatan sejarah. Segala ilmu yang dimiliki perlu dialirkan dan diwariskan kepada generasi baru. Dalam mencipta sejarah dalam ketamadunan manusia, generasi akan datang mesti lebih baik daripada generasi yang lalu. Demikianlah pernyataan seorang penulis jati Bumi Sarawak, Encik Jais Sahok ketika ditemu bual. Ini menunjukkan bahawa karya-karya agung sasterawan negara kita amat berharga dan menyumbang kepada pemikiran yang kritikal dan kreatif. Tokoh-tokoh sastera ini banyak memainkan peranan menyumbang kepada fikiran yang bernas.
Pendapat dan pesanan beliau yang sering menyemarakkan semangat juang para pendidik untuk terus menuntaskan amanah dan tanggungjawabnya selagi nyawa di kandung badan. Dengan jumlah penulis yang boleh dihitung dengan jari, bagaimanakah kita hendak meneruskan legasi sastera yang telah ditinggalkan oleh penulis-penulis terdahulu? Lebih malang, penulis-penulis yang pernah menaikkan nama negeri Sarawak suatu ketika dahulu akhirnya menjadi pasif dan tidak turun membantu penulis-penulis terkemudian sebagai jurubicara sastera yang serba canggih. Apakah mereka sudah ketandusan idea untuk menulis atau gagal mengadaptasi situasi kesusasteraan semasa? Insiden ini bukan sahaja menyedihkan malah merugikan kepada kesinambungan sastera Sarawak. Makanya, kita menaruh harapan kepada sejumlah kecil penulis mapan agar kekal menulis untuk menyuburkan persada sastera seperti Encik Jais bin Sahok. Kesinambungan penulisan mereka akan menyemarakkan usaha penulis generasi baharu.
Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Kesimpulannya, menghargai jasa para sasterawan adalah dengan menghargai hasil karya mereka. Sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri.
RUJUKAN
Harun Jaafar. (2008). Kesusasteraan Melayu. Nota Kuliah Terhad. HBML 4203 Kesusasteraan Melayu: Open Universiti Malaysia.
Jais Sahok. (2012)). Vitae Curriculum. Diperoleh daripada tokoh pada 29 Mei 2012.
Jais Sahok. (2012). Novel-Novel Jais Sahok. Diperoleh dari CV Peribadi, pada 29 Mei 2012.
Jais Sahok. (2012). Sumbangan Jais Sahok dalam Bentuk Bengkel Penulisan. Diperoleh daripada tokoh/penulis melalui temu bual pada 29 Mei 2012.
Mary Anak Jitos. (2011). An Interview Report On A Prominent Person Who Has Contributed To The Community. Latihan ilmiah. Sarjana Muda Pendidikan: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Muhammad Ali Atan. (2012). Kepimpinan Persatuan Penulis Lembap?. Arkib Utusan Online. Diperoleh pada 08 Julai 2012 dari laman sesawang http://www.utusan.com.my/utusan/info
Muliani Biinti Ibrahim. (2005). Gambaran dan pemikiran masyarakat Sarawak dalam novel pilihan jais sahok. Tesis Tidak Diterbitkan. Ijazah Sarjana Muda Sastera. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zainon S Ahmad. (2008). Sastera melayu moden dan kritikan sastera STPM. Kuala Lumpur. Crescent News Sdn. Bhd.
LAMPIRAN
KOLEKSI BUKU-BUKU PERIBADI JAIS SAHOK
GAMBAR PENULIS BERSAMA TOKOH SASTERA BUMI KENYALANG
‘JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA JAIS SAHOK
DI ATAS SEKALUNG BUDI SEUNTAI JASA YANG TELAH DIKONGSI BERSAMA SEMASA LATIHAN ILMIAH INI.’
No comments:
Post a Comment